Khamis, 9 April 2009

BIOGRAFI DR. LIM SWEE TIN

LIM SWEE TIN lahir di Bachok, Kelantan pada 26 September 1952 dan membesar di kalangan masyarakat Melayu. Dengan itu, tidak menghairankan jika beliau dan keluarganya amat fasih berbahasa Melayu. Dengan kefasihan bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu mendorong beliau menulis dan mencipta karya terutama puisi dalam bahasa ini. Ternyata, usahanya berhasil sehingga beliau dikenali sebagai penulis bukan Melayu yang cukup menonjol dan mendapat tempat di akhbar dan majalah, malah sering pula memenangi hadiah-hadiah penulisan.

Lim Swee Tin sebenarnya berdarah campuran. Bapanya, Lim Swee Poh, suku Hokkien berasal dari Chou An, Fujien, China, manakala ibunya Khe Utt Eh Di berketurunan Thai yang sudah menetap sejak beberapa generasi di Bachok, Kelantan. Beliau mendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Tawang, Bachok, kemudian apabila keluarganya berpindah ke Machang, Kelantan, Lim Swee Tin belajar pula di Sekolah Kebangsaan Machang, sebelum ke Sekolah Menengah Kebangsaan, dan Sekolah Menengah Hamzah, Machang, Kelantan sehingga Tingkatan Lima. Beliau menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1969, dengan mendapat Pangkat Satu. Lim Swee Tin kemudian mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah. Walau bagaimanapun, disebabkan kesempitan kewangan, beliau memohon bertukar ke Sekolah Menengah Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan. Beliau hanya sempat beberapa bulan sahaja di sekolah ini kerana terpaksa berhenti disebabkan masalah yang sama.

Lim Swee Tin menjawat jawatan Guru Sandaran di Sekolah Kebangsaan Kampung Pek, Machang selama setahun setengah sehingga beliau ditawarkan ke Maktab Perguruan
Persekutuan, Bukit Gelugur, Pulau Pinang mulai tahun 1972 dengan mengambil kursus Pengajian Bahasa Melayu dan Matematik Moden. Beliau lulus pada tahun 1973, dan mula bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra, Kuala Krai, Kelantan sehingga tahun 1978. Lim Swee Tin kemudian berpindah ke Sekolah Menengah Hamzah, alma matternya sehingga tahun 1988. Pada tahun 1988, Lim Swee Tin mendapat tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Pertanian Malaysia, Serdang kemudian dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan mengambil kursus Pengajaran Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Pertama, dan minor Kesusasteraan Melayu. Lim Swee Tin memperoleh ijazah Bacelor Pendidikan pada tahun 1992. Lim Swee Tin ditugaskan berkhidmat di Sekolah Tinggi Undang Musa Al-Haj, Jelebu, Negeri Sembilan, kemudian di Sekolah Menengah Kebangsaan Mantin, juga di Negeri Sembilan
sehingga tahun 1996. Mulai tahun 1997, Lim Swee Tin meneruskan pengajiannya di peringkat sarjana, dan memperoleh M.A-nya pada tahun 1999.

Lim Swee Tin mula berjinak-jinak dengan bidang penulisan sejak berada di sekolah rendah lagi. Ketika itu, beliau sudah mula belajar mencoret-coretpantun dan syair. Walau bagaimanapun, cubaan beliau menghasilkan sajak tidak menampakkan hasil yang memberangsangkan sehinggalah tahun 1968 dan 1969 apabila beliau berada di sekolah menengah. Di sekolah menengah, Lim Swee Tin mengambil mata pelajaran kesusasteraan Melayu. Antara teks kajian pada masa itu ialah antologi Gelombang (Usman Awang) dan Nyanyi Sunyi (Amir Hamzah). Melalui kajian keatas kedua-dua teks puisi ini, Lim Swee Tin beroleh keyakinan untuk menghasilkan sajak-sajak. Salah sebuah karyanya yang paling awal dan sempurna dihasilkan berjudul ‘Terima Kasih’. Sajak yang dicatatkan pada kulit novel Ranjau Sepanjang Jalan (Shahnon Ahmad) ini walau bagaimanapun tidak dapat dikesan lagi.

Bermula dari ini, Lim Swee Tin mula berkarya dengan bersungguh-sungguh. Semasa di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang, Lim Swee Tin secara kebetulan dilantik sebagai Sidang Editor jurnal Persatuan Bahasa Melayu, Kredit Gelugur. Kesempatan ini digunakan beliau untuk menyiarkan beberapa buah sajaknya sendiri. Karya-karya inilah kemudiannya memberinya keyakinan untuk mengirim sejumlah sembilan buah sajak ke Mingguan Malaysia pada tahun 1973. Salah sebuah sajak beliau ‘Seorang Anak Kecil’ termuat pada 14 Oktober 1973. Sebuah lagi tersiar pula dalam Utusan Zaman kira-kira sebulan kemudian. Tersiarnya karya-karya ini sudah cukup memberinya keyakinan dan kekuatan untuk terus menapak di persada kesusasteraan Melayu, khususnya di pertengahan dekad 1970-an. Semasa di maktab ini juga, Lim Swee Tin berpeluang membaca banyak buku kesusasteraan pelbagai genre terutamanya dari Indonesia selain jurnal Dewan Sastera (yang mula diterbitkan 15 Januari 1971). Lim Swee Tin pengunjung setia perpustakaan di maktabnya, dan pembaca Dewan Sastera yang cukup tekun. Menurut Lim Swee Tin, pembacaan buku-buku dalam bahasa Indonesia memberinya kekuatan dari segi penguasaan bahasa yang amat besar.

Perkara lain yang mendorong Lim Swee Tin terus mencipta karya ialah faktor alam sekitar seperti penghidupannya yang dikelilingi cara hidup dan budaya masyarakat Melayu, khususnya di Kelantan. Alam semula jadi di Kuala Krai, Kelantan dan berbagai-bagai cabang kesenian rakyat yang digemarinya(secara kebetulan keluarga Lim Swee Tin sebelah ibunya merupakan penggiat Menora dan wayang gedek sejak turun temurun ). Tugasnya sebagai guru bahasa Melayu di sekolah turut mendekatkan beliau dengan pembacaan yang berterusan dan beliau terus menghasilkan karya-karya kreatif.

Bakat Lim Swee Tin lebih terserlah dalam genre sajak walaupun beliau turut menghasilkan cerpen dan esei kesusasteraan. Berkat usaha gigihnya, Panel Hadiah
Sastera 1976 berpendapat bahawa Lim Swee Tin telah menunjukkan harapan besar sebagai penulis bukan Melayu dalam perkembangan sastera nasional kerana beliau bukan sahaja telah dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik tetapi telah berjaya mengangkat bahasa itu menjadi bahasa puisi. Karya-karyanya sudah mendapat tempat di Berita Minggu, Jurnal PERISA, Jurnal Malay Literature, Utusan Zaman, Mingguan Timur,Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, Dewan Sastera dan puluhan media penyiaran tanah air. Selain itu, puisi-puisinya diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Cina dan Thai.

Karya Lim Swee Tin yang pertama tersiar di media , sebuah cerpen berjudul ‘Malam Pertama’ tersiar dalam Majalah Jejaka tahun 1971. Tetapi, Lim Swee Tin merasakan jiwa dan bakatnya lebih terjurus ke arah genre sajak. Bagi Lim Swee Tin, genre ini boleh menjadi alat komunikasi, iaitu apabila sesebuah karya dihasilkan, pengalaman dan pemikiran penulis dapat dikongsi dan dihayati bersama-sama khalayak.

Berasaskan pegangan inilah Lim Swee Tin begitu serius dalam mencipta sajak dan keseriusannya tidak sia-sia. Setakat ini, Lim Swee Tin telah memenangi sejumlah 20 hadiah penulisan. Antaranya, Sayembara Cerpen ESSO-GAPENA 111 dan V1 pada tahun 1982 dan 1985 melalui cerpen-cerpen berjudul ‘Tapah’ dan ‘Gok’. Beliau memenangi Hadiah Penghargaan Anugerah Puisiputra 11 pada tahun 1983 melalui antologi ‘Akrab’ yang memuatkan 50 buah puisi. Lim juga beberapa kali memenangi Hadiah Sastera Utusan – Publik Bank (1986, 1989, 1990, 1992, 1994, 1999), Hadiah Sastera Malaysia 1982-83 melalui sajak ‘Berjalan-jalan Di Sini’, 1986-87 melalui sajak ‘Sejarah’, dan 1988-89 melalui sajak ‘Sewaktu Melintasi Kundasang’. Beliau memenangi Hadiah Cerpen Maybank – DBP ke-111 melalui cerpen ‘Cahaya Lain Di Wajah’ dan ke-IV melalui cerpen ‘Setelah Kabus Dini Hari’. Pada tahun 1990, Lim Swee Tin memenangi Hadiah Kedua Peraduan Mengarang Cerpen dan Puisi sempena 100 Tahun Kuala Lumpur melalui naskah puisi ‘Kuala Lumpur : Kota Sarang Labah-Labah’. Beliau juga memenangi Hadiah Puisi Kebangsaan ESSO – GAPENA tahun 1989, Hadiah Puisi Bosnia – PENA, Berita Harian, Utusan melayu pada tahun 1994, dan Formula Malaysia kategori cerpen, 2000, melalui cerpen ‘dR’.

Lim Swee Tin berumahtangga pada tahun 1977. Isteri beliau, Selina S.F. Lee, seorang guru juga merupakan penyair dan cerpenis yang kerap menyumbangkan karya-karya di media-media tanah air. Mereka kini dikurniai tiga orang anak, seorang lelaki dan dua orang perempuan.
Lim Swee Tin pernah aktif dalam Persatuan Penulis-Penulis Kelantan (PPK). Selepas PPK menjadi tuan rumah Hari Puisi Nasional di Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1981, Lim Swee Tin mengambil alih jawatan Setiausaha 1 selama tiga penggal berturut-turut. Sepanjang memegang jawatan tersebut, Lim Swee Tin banyak memainkan peranan mengendalikan bengkel dan mengadakan pelbagai rancangan pembangunan untuk melahirkan penulis-penulis pelapis di negeri kelahirannya itu.

Pada tahun 1990, Lim Swee Tin terpilih mewakili negara dalam acara Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur, acara dwitahunan yang menghimpunkan penyair-penyair terkemuka dunia. Pada tahun yang sama, Dewan Bahasa dan Pustaka memilih beliau untuk Program Penataran Karya Sastera selama 26 hari di Indonesia. Antara aktiviti beliau ialah menemui pengarang-pengarang ternama mutakhir Indonesia selain berdiskusi dengan tokoh-tokoh bahasa dan kesusasteraan Indonesia. Beliau juga berkesempatan mengikuti HISKI 111 di Malang, Indonesia.

Pada tahun 1994 – 1997 Lim Swee Tin merupakan Pengelola Ruangan Sastera dan Budaya akhbar Mingguan Watan. Selain itu, Lim Swee Tin kerap diundang membentangkan kertas kerja. Antaranya sempena Bulan Bahasa Melayu Singapura 1996, 1997,1998 dan 1999, Hari Sastera Malaysia, Hari Puisi Nasional dan Pertemuan Sasterawan Nusantara X/Perhimpunan Sasterawan Malaysia 1 di Johor Bahru, 1999 di samping mengelolakan majlis-majlis kesusasteraan serta acara-acara baca puisi ; antaranya pada Kongres Bahasa Melayu Sedunia 1995, dan lain-lain lagi. Beliau mengendalikan Minggu Penulis Remaja (Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah) dari tahun 1996 hingga 1999, yang banyak membantu mengukuhkan kedudukannya sebagai penulis tanah air. Lim Swee Tin juga Pengadil GAPENA bagi acara Sayembara Puisi Kebangsaan dari tahun 1995 hingga sekarang.
Sepanjang penglibatannya dalam dunia penulisan, Lim Swee Tin telah menerbitkan sejumlah sepuluh buah antologi puisi persendirian, empat daripadanya merupakan puisi remaja, lima buah novel remaja, lima buah buku kreatif umum, dan lebih enam puluh buah antologi bersama. Beliau juga menyelenggarakan sebuah antologi puisi penulis bukan Melayu.

Kejayaan cemerlang Lim Swee Tin dalam bidang penulisannya juga membawanya ke simposium The Search for a New World Culture for the 21st Century : Asian Literary Perspective di Washington D.C, Amerika Syarikat, dan bersempena dengan Persidangan ASEM ke-2 di London April tahun 1998, Lim Swee Tin diundang mewakili Malaysia pada acara Baca Puisi Four Leading Poets from South East Asia bertempat di Royal Festival Hall, London di samping penyair dari Indonesia, Thailand dan Filipina.

KARYA DR. LIM

Seorang Lelaki Tua - Lim Swee Tin

Seorang lelaki tua
yang tiba-tiba
merasakan
kehilangan sebuah sungai
tempat dulu petang-petang begini
bermain dengan teman-teman.
Seorang lelaki tuayang tiba-tiba
merasakan
kehilangan sebuah halaman
tempat dulu sewaktu kecil
mendengar ibu bercerita tentang sekian dongengan.
Seorang lelaki tua
yang tiba-tiba
bagaikan terjaga
berdiri di antara bangunan-bangunan tinggi
asing dan menyepikan
di kelilingi asap dan debu
kering dan melemaskan.
~ Lim Swee Tin, 1993

NI CERITA TENTANG DR. LIM MENERBITKAN TENTANG LAGU PUISI

Lim Swee Tin (Dr.) di persada jagat sastera tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau merupakan sifu dalam penulisan dan deklamasi sajak. Sudah banyak buku kumpulan puisi yang beliau hasilkan. Minat Lim Swee Tin pada kesusasteraan (sastera Melayu) begitu mendalam sekali.

Terkini, Dr. Lim menghasilkan album puisi bertajuk Mencari Indah yang beliau terbitkan sendiri. Album ini mengandungi 16 buah sajak. 14 buah sajak dideklamasikan dan 2 buah sajak beliau nyanyikan sendiri. Setiap pembelian album ini akan mendapat sebuah buku kumpulan puisi terbaharu beliau yang juga bertajuk Mencari Indah.
Saya telah membeli dan memiliki album dan buku Mencari Indah karya Dr. Lim itu. Setelah mendengar dan menghayati album dan membaca buku itu, saya kagum sungguh-sungguh. Lim Swee Tin memang seorang penulis/penyair sejati. Beliau sanggup keluar modal untuk menghasilkan album puisi. Melihat kulit album dan kulit CD, kerja yang beliau hasilkan bukan kerja main-main. Ada beberapa persoalan bermain di benak saya. Antaranya ialah album deklamasi puisi dan lagu puisi Mencari Indah berbahasa Melayu ini diusahakan oleh seorang yang bernama Lim Swee Tin


JOM KITA TINJAU KEGIATAN YANG DR. LIM BUAT...

Telah banyak kegiatan yang telah diikuti oleh Dr Lim sepanjang ini. Antaranya ialah:
Penataran Karya Kesusasteraan di Indonesia, Jakarta – Malang, DBP,6 – 30 November 1990, Peserta.

Pertemuan Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia, LIPI-DBP, Jakarta, 22November 1990. Pembentang Kertas Kerja.

Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur (Kuala Lumpur World PoetryReading)1990, DBP, Kuala Lumpur 1990, Peserta.

Hari Puisi Nasional ke-10, GAPENA-Persatuan Penulis P.Pinang, PulauPinang,20-23 September 1991. Pembentang Kertas Kerja.

Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur (Kuala Lumpur World PoetryReading) 1992, DBP, Kuala Lumpur 1992, Peserta.

Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur (Kuala Lumpur World PoetryReading) 1996, DBP, Kuala Lumpur 1996, Peserta.



Seminar Penterjemahan Karya Sastera, Persatuan Penterjemah Malaysia,UPM,26 Oktober 1996. Pembentang Kertas Kerja.

The Search for a New World Culture for the 21st Century Culture:Asian Literary Perspective, The Washington Times Foundationand The Internasional Culture Faoundation, Washington D.C.,27 April – 5 Ogos 1997, Peserta Negara.

Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur (Kuala Lumpur World PoetryReading) 1990, DBP, Kuala Lumpur 1998, Peserta.

Four Leading Poets from South East Asia, with Conjunction to AsianEurope Summit (ASEM 2), London, 2 April 1998, PesertaNegara.

Minggu Sastera Malaysia , Persatuan Penulis Johor-DBP, Johor Bahru,28 November 1998, Pembentang Kertas Kerja.

Hari Puisi Nasional Malaysia ke-14, GAPENA-Kerajaan Negeri Sembilan-DBP,Seremban, Negeri Sembilan, 29-30 Januari 1999,Pembentang Kertas Kerja.

Pertemuan sasterawan Nusantara ke-10, dan Pertemuan SasterawanMalaysia 1,Kerajaan Negeri Johor-GAPENA-DBP, Johor Bahru,Johor, 17-21 April1999. Pembentang Kertas Kerja.

Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur (Kuala Lumpur World PoetryReading), DBP, Kuala Lumpur 2000, Peserta Negara.

Simposium Penulis Pelbagai Kaum 1, GAPENA-DBP-PUTERA, Miri,Sawarak, 17-20 September 2000, Pembentang Kertas Kerja.

Anugerah Persuratan Asia Tenggara/South East Asia Award(S.E.A.Write Award), Kerajaan Diraja Thailand, 10-23September 2000,Bangkok,Thailand, Penerima Anugerah.
Concert for World Peace, Kerajaan Diraja Thailand, Bangkok,Thailand, 25-28 Ogos 2001,Peserta Negara.



Taipei 2001 World Poetry Festival, Biro Kebudayaan Taipei, TaiwanR.O.C,Taipei, 10-23 September 2001, Peserta Negara.

Hari Puisi Nasional Malaysia 2003, GAPENA-Kerajaan Negeri Selangor-DBP,Shah Alam, Selangor, 2003, Pembentang Kertas Kerja.

Seminar Islam Hadhari, IKIM-Kerajaan Negeri Melaka, 18-19 Januari2005,MITC,Melaka, Pembentang Kertas Kerja.

Hari Sastera Malaysia ke-13, GAPENA-Kerajaan Negeri Perak-DBP, Ipoh,Perak, 2-5 September 2005. Pembentang Kertas Kerja.

Kuliah Kesusasteraan Bandingan Asia Tenggara (MASETRA), DBP-FBMK(UPM), 25 Ogos 2005, Penganjur Bersama-Peserta.
Seminar Kesusasteraan Asia Tenggara (MASTERA), DBP, 29-30 November2005,DBP Kuala Lumpur. Peserta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan